RSS

Tuliskan karangan tentang Program Motivasi yang telah kamu sertai.

20 Jun 2010 merupakan tarikh yang aku tunggu-tunggu. Aku mendapat tahu daripada Cikgu Mariam bahawa satu Program Motivasi akan dianjurkan oleh Institusi Perguran Tuanku Bainun. Aku tidak sabar lagi untuk menyertai program tersebut lantaran aku sedar bahawa aku perlukan kekuatan untuk menduduki UPSR hujung tahun ini. Aku juga perlu buktikan kepada ibu dan bapaku bahawa aku juga mampu cemerlang sepertimana kakak dan abangku. Namun, aku masih belum menguasai teknik-teknik untuk cemerlang dalam peperiksaan. Selepas makan malam bersama-sama keluargaku, aku bingkas masuk ke bilik untuk membuat persiapan sepertimana yang ditaklimatkan oleh Cikgu Mariam tengah hari tadi.

Seawal jam 6.00 pagi, jam locengku berbunyi. Setelah menunaikan solat, aku bersarapan bersama-sama keluargaku. Setelah memohon restu ibu dan ayah, aku mengayuh basikalku ke sekolah dengan satu keazaman iaitu akan mengikuti Program Motivasi pada hari ini dengan bersungguh-sungguh. Tepat jam 7.30 pagi, aku bersama-sama rakan yang lain bertolak ke Institusi Perguruan Tuanku Bainun. Sejam kemudian, kami pun tiba di pekarangan IPTB. Aku amat teruja apabila melihat suasana IPTB dan berazam akan menjejakkan kaki ke menara gading.

Setelah kami diberi taklimat, kami dibawa masuk ke Dewan Kursia. Di sinilah tempat program motivasi akan dijalankan. Kami dikejutkan dengan alunan zikir dan kami terpinga-pinga. Rupa-rupanya, itulah permulaan program motivasi tersebut. Tuan Haji Fadhilah Kamsah merupakan pakar motivasi yang sering aku lihat melalui televisyen, tetapi hari ini beliau berada di hadapanku. Satu sesi yang tidak dapat aku lupakan ialah Muhasabah Diri. Tuan Haji Fadhilah Kamsah sangat arif dalam menyedarkan kami tentang pentingnya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama dan negara.

Aku hampir menitiskan air mata apabila sedar bahawa banyak dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan kepada ibu, bapa, keluarga dan diriku sendiri. Untuk menjadi manusia yang cemerlang, aku berazam untuk mengubah tabiatku yang gemar menonton televisyen dan berfoya-foya kepada ulat buku. Kata-kata Tuan Haji Fadhilah masih terngiang-ngiang di telingaku iaitu ,“Kejayaan terletak dalam diri kamu sendiri. Maka berusahalah kerana belakang parang diasah lagikan tajam, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Setelah dua jam bersama motivator itu, kami pun bertolak pulang dengan satu keazaman yang tinggi. Aku tidak mahu semangat ini terkubur begitu sahaja. Aku berjanji akan membuktikan bahawa aku juga mampu untuk berjaya. 5A pasti aku capai. Itulah semangat yang dihembus kepada murid-murid dalam Program Motivasi itu. Sejak hari itu, ibu bapaku juga sering memberi semangat dan menyokongku.

No comments:

Post a Comment