RSS

Catatan Lawatan ke Alor Setar

CATATAN HARIAN

20 Mei 2012
7.00 pagi
Kami berkumpul di tapak perhimpunan sementara menunggu ketibaan bas rombongan. Seramai 123 orang murid dan 10 orang guru akan menyertai lawatan ke Alor Setar. Kami akan menaiki tiga buah bas.

7.30 pagi
Setelah mendengar taklimat daripada Cikgu Zainol bin Musa, kami beratur untuk menaiki bas masing-masing. Kami pun bertolak setelah membaca doa agar perjalanan kami selamat. Dalam perjalanan ke Alor Setar, kami dapat melihat pemandangan yang indah terutamanya sawah padi yang terbentang luas.

9.00 pagi
Kami singgah di Gurun. Kami membeli makanan untuk sarapan pagi. Aku hanya membeli sebungkus nasi lemak sebagai alas perut.

10.00 pagi
Destinasi pertama yang kami lawati ialah Menara Alor Setar. Kami beratur untuk menaiki lif. Di atas menara, kami dapat melihat keseluruhan bandar Alor Setar. Walaupun seronok namun aku berasa sangat gayat. Aku berpeluang untuk menggunakan teropong.

11.00 pagi
Kami tiba di destinasi kedua iaitu Muzium Negeri Kedah. Kami sangat terpegun melihat pameran artifak-artifak zaman purba. Aku kagum dengan kegigihan rakyat Kedah yang memberi bunga emas kepada kerajaan Siam sebagai ufti.

12.00 tengah hari
Di Galeri Sultan Kedah, kami dapat menimba banyak ilmu pengetahuan tentang salasilah Kesultanan Negeri Kedah. Nama sultan Kedah ialah Sultan Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Beliau memerintah sehingga ke hari ini.

1.00 petang
Kami berehat untuk makan tengah hari. Selepas makan kami bersembahyang di Masjid Zahir. Oleh sebab kami musafir, kami bersembahyang jamak Zohor dan Asar. Aku terpesona dengan keunikan ukiran di masjid itu.

2.00 petang
Kami disambut oleh Pegawai Muzium Padi yang sangat peramah. Kami dapat maklumat tentang penanaman padi. Tidak hairanlah jika negeri Kedah mendapat gelaran sebagai “Jelapang Padi Malaysia”. Aku tertarik dengan pemandangan lukisan yang sangat cantik semasa berada di tingkat 3. Pemandangan itu seolah-olah kami berada di puncak Gunung Kriang.

3.00 petang
Kami singgah di Pusat Sains. Banyak eksperimen yang dapat kami jalankan. Banyak peralatan bertujuan untuk menguji minda kami. Aku sempat mencuba berbasikal di atas tali. Perasaan sangat gementar kerana terlalu tinggi. Tetapi aku tidak jatuh kerana basikal itu telah diseimbangkan.

5.00 petang
Bas meluru laju ke Changlun. Kami dibawa ke destinasi terakhir iaitu Taman Lye Huat. Banyak khazanah purba dipamerkan disamping pokok-pokok bonzai yang bernilai jutaan ringgit terdapat di situ. Selain itu, terdapat juga haiwan-haiwan liar seperti buaya, harimau dan sebagainya. Aku tidak dapat melupakan peristiwa lucu apabila kami dikejar oleh kambing gurun.
10.00 malam
Kami tiba di pekarangan sekolah. Walaupun keletihan, kami bersyukur kerana mendapat banyak pengetahuan daripada lawatan ini. Mungkin suatu hari nanti, aku akan melawat bersama-sama keluargaku lagi.

1 comment: